Fenomena pencemaran alam sekitar tidak pernah lekang. Air merupakan anugerah yang tidak ternilai dan juga merupakan salah satu keperluan asas yang penting kepada manusia. ‘ Pencemaran air’ boleh didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai atau laut yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara. Pencemaran ini menjadi semakin serius kerana isu ini masih dipandang ringan. Kerajaan pernah mengadakan kempen seperti ‘Cinatilah Sungai Kita’ tetatpi tidak mendapat sambutan yang diinginkan daripada seluruh lapisan masyarakat. Justeru, fenomena ini terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor.
Salah satu punca permasalahan ini ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam sungai atau laut. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan kualiti atau pH air sungai tersebut. Sebagai contoh, industry memproses serbuk pencuci pakaian memberikan kesan terhadap sistem air di laut. Bahan kimia, asid dan bahan organik seperti nutrient, bahan radioaktif dan gas semakin berleluasa mencemari laut. Natijahnya, habitat dan kualiti kehidupan akuatik seperti ikan, rumpai laut akan menurun kerana keadaan sungai yang kekurangan oksigen dan tercemar tidak sesuai untuk hidupan-hidupan air tersebut. Hal ini berlaku apabila golongan yang tidak bertanggungjawab ini mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai dengan alas an mereka tidak perlu menanggung kos pelupusan dan tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam laut atau sungai tanpa memikirkan impaknya. Sikap mementingkan diri sendiri ini perlu dikikis demi kepentingan dan kesejahteraan bersama.
Punca kedua yang mendorong kepada fenomena ini ialah penerokaan. Penerokaan kawasan baru untuk dimajukan dan dinaikkan untuk membina rumah atau bangunan yang dijalankan menyebabkan hakisan tanah yang berlaku. Sebagai contoh, sesetengah pihak melakukan penerokaan di kawasan hutan, bukit bukau, batu kapur. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kecacatan struktur keindahan muka bumi malahan juga boleh menyebabkan tanah runtuh. Tanah runtuh tersebut kan masuk ke dalam sungai menjadi mendakan. Oleh itu, mendakan ini akan mencetekkan lagi paras air sungai dan seterusnya banjir akan berlaku. Masalah mendakan inilah merupakan penyumbang kepada salah satu faktor terjadinya banjir.
Selain itu, bidang pertanian juga boleh menjadi salah satu faktor fenomena pemcemaran air ini. Hal ini boleh berlaku apabila pengilangan hasil-hasil pertanian boleh mengalirkan banyak bahan kimia cecair ke dalam sungai-sungai. Hampas-hampas organik yang menjadi bahan buangan pemprosesan selalunya akan dibuang ke dalam sungai. Penggunaan baja dan pestisid yang digunakan untuk membunuh haiwan perosak boleh mencemarkan ketulenan air. Bahan kimia tersebut akan menghalang penembusan cahaya ke bawah permukaan air dan mengakibatkan kematian tumbuh-tumbuhan dan hidupan air. Hal ini disebabkan kerana hidupan air tidak mendapat pengudaraan dan pengcahayaan yang secukupnya. Oleh itu, habitat hidupan air sekaligus terjejas.
Setiap permasalahan pasti ada cara untuk mengatasi dan membendungnya. Salah satu kaedah untuk mengatasi fenomena ini ialah kempen kesedaran melalui iklan di media cetak mahupun media elektronik. Masyarakat yang mempunyai sikap ‘tidak apa’ perlu ditangani. Melalui media-media sebegini, sebagai contoh menayangkan iklan-iklan kesedaran, sedikit sebanyak memepengaruhi masyarakat untuk berubah dan tidak mementingkan diri sendiri. Hal ini dsebabkan, melalui iklan mereka akan nampak dengan lebih jelas implikasi-implikasi yang akan terjadi sekiranya mereka terus mengamalkan sikap sambi lewa dan terus membuang bahan-bahan buangan dengan sengaja ke dalam sungai dan laut tanpa rasa bersalah. Kita harus memikirkan keadaan generasi akan datang yang terpaksa menanggung hasil tindakan yang kita buat pada hari ini.
Di samping itu, pemantauan yang serius perlu dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa. Sekiranya tidak ada rancangan berkesan untuk memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, masyarakat di negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Sebagai contoh, penghuni rumah di tepi sungai berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Oleh itu, jika pihak yang bertanggungjawab mengambil mudah akan perkara ini, masalah ini akan menjadi lebih serius dan sungai di negara kita akan berada dalam kondisi yang semakin teruk. Pihak yang berwajib boleh membuat pemantauan yang kerap di kawasan tepi sungai dan mengenakan denda yang maksimum sekiranya ternampak masyarakat yang membuang bahan buangan ke dalam sungai. Kaedah ini sedikit sebanyak dapat mengatasi masyarakat daripada terus membuang sampah ke dalam sungai.
Kesimpulannya, kesedaran menghargai ,menjaga kualiti, perasaan cinta akan sungai mahupun laut dan prihatin terhadap persekitaran alam patut didedahkan kepada murid sejak di bangku sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar terutamanya memelihara kebersihan air. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai dan laut dipelihara supaya terus bersih. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya sungai dan laut kita supaya tidak tercemar dengan teruk pada masa akan datang dan kita perlu sentiasa ingat air merupakan anugerah istimewa daripada tuhan yang tidak terhingga.
nukilan oleh,
SITI NABIHAH BINTI MOHD RADZI
208761
No comments:
Post a Comment