18.8.10

PENCEMARAN UDARA,

                        Era globalisasi kini menjanjikan seribu kemelut yang membimbangkan terutamanya masalah alam sekitar. Pencemaran alam sekitar boleh dibahagikan kepada beberapa komponen. Antaranya pencemaran udara. Jenis-jenis pencemaran udara adalah seperti karbon karbon monoksida., oksida nitrogen, oksida sulfur dan CFC. Jenis-jenis gas inilah yang menyumbang peratusan yang tinggi kepada berlakunya pencemaran udara. Mengikut sumber Pencemaran Alam Sekitar, Siri Pencemaran Alam, Jasiman Ahmad Eddiplex Sdn Bhd 1996, definisi pencemaran udara adalah sebagai gas yang terdapat di permukaan udara, cecair atau zarah yang terkandung di udara. Fenomena ini boleh menyebabkan terjadinya perubahan dalam cuaca seperti masalah jerebu, kabus, dan sebagainya.

              Menurut Sumber Pencemaran Alam sekitar, Siri Pencemaran Alam, Jasiman Ahmad Eddiplex Sdn Bhd juga mengatakan bahawa pencemaran udara boleh dibahagikan kepada dua iaitu Pencemaran Udara Primer dan Pencemaran Udara Sekunder. Pencemaran udara Primer menghasilkan Sulfur monoksida dan Karbon monoksida yang berlaku disebabkan oleh pembakaran yang tidak lengkap. Hal ini menyebabkan zarah-zarah yang halus terampai-ampai di udara dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan kita. Gas seperti ini selalunya dilepaskan melalui ekzos kenderaan, kawasan perindustrian dan penggunaan dapur arang atau kayu. Selain itu, pencemaran udara sekunder merupakan tindak balas sulfur dioksida yang bergabung dan membentuk gas-gas yang tidak diperlukan oleh benda hidup.

          Pelbagai punca yang mengakibatkan berlakunya pencemaran udara. Antaranya adalah disebabkan oleh pelepasan asap kenderaan. Alaf baru kini memperlihatkan banyak kenderaan bermotor yang terdapat di pasaran pada hari ini, dengan mempamerkan bentuk,saiz, dan warna sudah tentulah dapat menarik minat masyarakat untuk membeli dan menggunakan kenderaan sebagai keperluan harian. Apatah lagi masyarakat moden amat bergantung kepada pengangkutan pengangkutan bermotor seperti kereta, lori, bas dan keretapi. Namun begitu, tidak semua pemandu mahupun mereka yang tidak mempunyai kenderaan mengetahui bahawa setiap pergerakan kenderaan bermotor menggunakan tenaga yang banyak dan tanpa disedari sebenarnya hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api fosil yang menghasilkan asap dan bunyi. Oleh itu, bagi memeliharakan alam sekitar ini terutama sekali mengurangkan pencemaran udara daripada berlaku, tahap kebersihan perlulah dijaga dan dipertingkatkan. Hal ini disebabkan oleh kualiti persekitaran adalah bergantung kepada keadaan setempat, lebih-lebih lagi sektor pengangkutan yang digunakan merupakan penyumbang kepada berlakunya pencemaran udara.

                Punca yang berikutnya adalah disebabkan oleh asap-asap yang dilepaskan oleh kilang-kilang atau dikenali sebagai proses industri. Proses industri boleh mendatangkan kesan negatif terhadap udara kerana berlakunya penghasilan bahan pencemaran oleh kilang-kilang asbestos, kilang simen, kilang bateri kereta dan kilang papan atau kilang kayu balak. Ada sebahagian daripada kilang papan ini memasang cerobong bagi tujuan melakukan proses perkilangan sehingga menghasilkan kepulan asap yang mengandungi jenis-jenis pencemaran udara. Ada sebahagian pengilang ini hanya ingin melakukan proses industri mereka semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar. Apatah lagi kekurangan pemantauan pihak berkuasa menyebabkan pengilang-pengilang ini tidak mengikut piawai atau standard yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar dalam menjaga alam sekitar ini.

             
                Punca yang seterusnya adalah pembakaran di tempat pelupusan. Hal ini boleh mengakibatkan berlakunya pencemaran udara kerana berlakunya pembakaran terbuka di kawasan bandar. Sebagai contoh, kekurangan tempat pelupusan sampah di kawasan bandar adalah terhad kerana lebih tertumpu kepada kemudahan-kemudahan infrastruktur dan perumahan. Oleh itu, bagi menangani masalah kekurangan tempat pelupusan ini, mereka mencari jalan mudah dengan melakukan pembakaran di tempat pelupusan secara terbuka bagi mengurangkan lambakan sampah di kawasan terbabit. Akibatnya, pencemaran udara akan berlaku disebabkan oleh asap yang terlalu banyak dihasilkan adalah mengandungi karbon monoksida. Pembakaran hutan di kawasan yang luas juga boleh menjadi punca berlakunya pencemaran udara.

                 Punca yang seterusnya adalah masalah pelepasan habuk yang tersebar melalui udara. Contohnya ada sebahagian masyarakat yang melakukan aktiviti seharian mereka dengan melakukan aktiviti seharian mereka dengan melakukan pembakaran sisa kayu bagi membersihkan kawasan mereka tanpa mengambil kira kesan terhadap alam sekitar. Bagi aktiviti pertanian iaitu penanaman padi,mereka akan melakukan proses sekam padi selepas menuai padi. Mereka tidak sedar bahawa habuk daripada aktiviti tersebut akan tersebar melalui udara. Selain itu, terdapat juga masyarakat yang melakukan aktiviti sampingan seperti membakar sampah, memasak menggunakan arang batu dan kayu serta merokok. Hal ini sebenarnya menyumbang kepada berlakunya pencemaran udara.

              Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai kesan negatif pencemaran udara. Antaranya adalah menganggu kesihatan manusia sehingga mewujudkan pelbagai penyakit dalam kalangan masyarakat. Udara yang tidak sihat ini akan masuk ke dalam sistem pernafasan. Gas, cecair dan zarah seperti karbon monoksida yang terkandung di udara ini akan meracuni sistem oksigen dalam darah yang akan melambatkan tindak balas manusia sehingga menyebabkan manusia berasa mengantuk, penyakit lelah, mengurangkan fungsi paru-paru, penyakit kekejangan, barah, asma dan anemia. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyatakan sebanyak tiga juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara dan ini adalah tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

            
                       Kesan yang seterusnya adalah terhadap keadaan di persekitaran. Habuk-habuk yang terdapat di sekeliling akan mencacatkan keadaan di persekitaran dan menjejaskan reputasi sesebuah kawasan yang menjadi tumpuan pelancongan. Sampah sarap dan sisa-sisa makanan yang dibuang di merata-rata tempat turut menimbulkan bau yang kurang menyenangkan dan seterusnya membataskan pergerakan masyarakat yang tinggal di kawasan terbabit kerana kawasan persekitaran yang kotor. Selain itu, masyarakat yang melakukan aktiviti pembakaran haram akan menyebabkan kawasan tersebut diselaputi dengan asap tebal dan seterusnya jerebu akan berlaku. Akibatnya, penglihatan pemandu menjadi tidak jelas dan besar kemungkinan kemalangan akan berlaku.

                Kesan yang terakhir dapat dilihat melalui hasil pertanian atau flora. Tumbuhan memerlukan oksigen untuk hidup dengan subur. Sekiranya udara lebih banyak terkandung dengan bahan-bahan pencemar, hasil pertanian atau tumbuhan tersebut menjadi tidak produktif dan terjejas. Hal ini turut menyebabkan tumbuhan tersebut mengalami kerosakan seperti nekrosis atau keguguran daun, klorosis atau pertukaran warna dan pertumbuhan terbantut. Oleh itu, negara akan berhadapan dengan kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian penduduk akan terjejas. Masyarakat juga sukar memperoleh sayur-sayuran yang berkualiti sebagai makanan seharian.

                 Kedaluwarsa, kita sebagai masyarakat yang prihatin haruslah menjaga alam sekitar ini dengan rasa tanggungjawab dan cinta terhadap alam flora dan fauna yang terdapat di bumi ini. Kita seharusnya menghayati dan mensyukuri segala nikmat keindahan yang dicipta oleh Maha Pencipta ini. Kita janganlah alpa untuk menjaga kebersihan dan keindahan alam kerana suatu saat nanti manusia akan menerima balasan bagi setiap apa yang dilakukan terhadap muka bumi ini.

nukilan oleh,
SYAHIRASYA BT MOHD SHAH
208759

No comments: