26.8.10

PENCEMARAN RADIOAKTIF,

            
                  Logo bentuk bilah kipas berlatar belakang warna kuning dan gambar api yang tertera pada belakang lori membawa muatan bahan kimia cecair member amaran kepada kita bahawa ia adalah bahan berbahaya. Setiap kali ternampak objek ini, terlintas di fikiran kemungkinan berlaku letupan dahsyat sekiranya berlaku kesilapan teknikal atau kenderaan berkenaan terbabit dalam kemalangan sekaligus akan menyebabkan pencemaran radioaktif. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, pencemaran boleh didefinisikan sebagai perbuatan mencemarkan atau mengotorkan manakala radioaktif boleh ditakrifkan  sebagai bahan (MIS URANIUM, RADIUM dan lain-lain) yang menghasilkan sinar (ALFA, GAMMA, BETA yang sangat kuat dan berbahaya).

                Terdapat empat jenis radiasi yang perlu diberi perhatian iaitu alfa, beta, gamma dan neutron. Setiap jenis radiasi memerlukan bentuk perlindungan yang berbeza  kerana ia menunjukkan sifat dan kesan yang pelbagai. Sebagai contoh, radiasi alfa tidak dapat menembusi kulit dan mampu disekat dengan hanya menggunakan sehelai kertas, bagaimanapun, ia sangat sensitif dan mampu mengundang bahaya kepada paru-paru. Beta pula dapat menembusi badan manusia tetapi tidak mampu menembusi lapisan kertas aluminium. Begitu juga gamma yang mampu menembusi badan manusia tetapi sinarannya yang lebih kuat memerlukan beberapa meter plumbum atau konkrit untuk menyekat penembusannya. Manakala neutron, biasanya berlaku di dalam reaksi nuklear dan mampu menembusi plumbum dan konkrit.   

 
           
           Di dalam buku “Radioactive Releases in the Environment : Impact and Assessment” yang dikarang oleh John R. Cooper, menyebut bahawa beberapa industri moden terutamanya yang membabitkan penghasilan tenaga dan perubatan, mempunyai potensi pembebasan sisa bahan radioaktif ke persekitaran yang sangat tinggi berbanding industri lain. Kebanyakan produk industri perlu melalui proses radiasi selain sifat semulajadi bahan utama yang membahayakan. Tanpa disedari, setiap hari kita banyak terdedah kepada produk yang mengandungi bahan radioaktif namun kesannya tidak ketara pada tempoh permulaan yang tidak memberi peluang kepada pencegahan dan rawatan awal. Misalnya, bateri, minyak berplumbum, tali pinggang, jangka suhu dan bahan kosmetik.   
            Jika terdedah kepada bahan radioaktif dalam jangka masa yang panjang, bahan tersebut  boleh memberi impak yang serius terhadap pengguna. Sinar-X yang kita perlu jalani semasa membuat pemeriksaan kesihatan turut memberi kesan yang membahayakan. Sinar-X adalah sinar gamma yang menunjukkan kesan yang lebih ketara berbanding sinaran lainnya. Jadi, pakar perubatan sering mencadangkan bahawa ujian sinar-X hanya boleh dilakukan enam bulan sekali dan tidak dibenarkan sama sekali dijalankan ke atas wanita mengandung. Sinar tersebut mampu membunuh sel dalam badan terutamanya sel yang baru terbentuk. Hal ini dikhuatiri akan menjejaskan struktur bayi dalam kandungan. Walaubagaimanapun, terdapat juga bahan radioaktif yang digunakan sebagai bahan perubahan atau dikenali sebagai rawatan kemoterapi. Contohnya, radium digunakan untuk merawat kanser pejal. Jika digunakan secara kerap mampu memusnahkan tisu tumor dalam badan pesakit.

           
              Di dalam laman web Wikipedia, The Free Encyclopedia pernah mengisahkan kesengsaraan rakyat di negara Jepun yang berdepan dengan pencemaran bahan radioaktif yang bermula pada tahun 1950. Sejarah hitam yang tersimpan di Bandar Toyama di Pulau Honshu, Chubu adalah apabila bandar tersebut diserang sejenis penyakit ganjil akibat pencemaran kadmium dalam sistem perairan. Kadmium ialah bahan saduran dan bahan utama yang digunakan dalam industri pembuatan bateri, merupakan sisa sampingan toksik yang berpunca dari aktiviti perlombongan sebuah syarikat yang melombong perak, plumbum, zink, dan kuprum untuk kegunaan industri. Sikap tidak bertanggungjawab syarikat Kamioka Mines telah meninggalkan kesan yang menyedihkan terhadap masyarakat setempat. Penyakit ‘Itai-itai’, sejenis penyakit yang menyebabkan badan pesakit akan menjadi lemah akibat keracunan kadmium yang menyerang sendi dan tulang belakang selain membantutkan fungsi buah pinggang yang beperanan sebagai penapis bahan asing dan asid sebelum masuk ke dalam saluran darah. Itai merupakan perkataan Jepun iaitu sakit. Oleh kerana pesakit sering menggunakan perkataan ini untuk menggambarkan kesengsaraan mereka, Itai digunakan untuk menamakan penyakit tersebut.

 Berdasarkan panduan daripada Uranium Information Centre Limited (UIC), sisa radioaktif terdiri daripada pelbagai jenis elemen yang memerlukan cara pengendalian dan pengurusan yang berbeza. Sisa radioaktif boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu pada tahap rendah, tahap sederhana dan tahap tinggi. Tahap rendah merupakan sisa dari hospital, makmal dan industri seperti industri tenaga nuklear, manakala tahap sederhana mengandungi lumpur kimia, komponen reaktor dan resin. Sisa pada tahap tinggi pula terdiri daripada sisa bahan api yang telah digunakan dan eleman berat yang mempunyai tahap radioaktif yang tinggi. Jumlah dan jenis bahan radioaktif akan mempengaruhi kandungan jenis sisa. Pengurusan sisa radioaktif juga adalah berdasarkan tempoh masa ia kekal sebagai bahan berbahaya sehingga menemui satu jangka waktu yang dipanggil separuh hayat. Dalam tempoh berkenaan, bahan radioaktif akan mengurai sedikit demi sedikit sehingga keadaannya  stabil dan tidak membahayakan. Proses ini akan memakan masa dari beberapa saat kepada jutaan tahun bergantung kepada isotopnya.

Sebelum dibebaskan ke alam sekitar, sisa bahan radioaktif juga perlu dirawat terutamanya semasa masih berada di dalam makmal. Makmal juga perlu diklasifikasikan mengikut jenis dan tujuan bahan yang digunakan. Peralatan yang digunakan juga perlu dipantau dari masa ke masa. Pengendali haruslah melengkapkan diri dengan peralatan yang dikhaskan seperti sarung tangan, penghadang dan peralatan amaran, dan juga memastikan tangan dicuci sebelum meninggalkan makmal. Panduan yang disediakan oleh Occupational Safety and Health, University of Delaware menegaskan, bahan radioaktif yang ingin digunakan perlulah dikendalikan di kawasan yang ditetapkan selepas diluluskan oleh Pegawai Keselamatan Radiasi. Sisa radioaktif juga perlu dikumpulkan dalam bekas yang ditetapkan sebelum dihantar untuk menjalani rawatan sisa oleh badan yang telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja.
 Natijahnya, bahan radioaktif ialah penemuan manusia yang menakjubkan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa penemuan bahan radioaktif adalah penemuan yang sangat penting dan menakjubkan. Bahan ini dimajukan untuk kegunaan dan kemajuan manusia. Namun, kita hendaklah ingat bahawa bahan ini juga mendatangkan keburukan jika disalahgunakan seperti pembangunan senjata nuklear. Jadi semua pihak haruslah bekerjasama dan mengetahui peranan masing-masing untuk membendung masalah ini supaya fenomena ini dapat diatasi.

nukilan oleh,
MELISSA SUMA ANAK GILBERT
208787

3 comments:

sarahnazari said...

terima kasih.maklumat ini banyak membantu

Unknown said...

buah tomato yang telah dcemari sisa radioaktif telah menunujukkan bentuk dan saiz yang luar biasa. apakah yang mungkin berlaku pada gen-gen buh tomato?

Unknown said...

Mobile legend